Saturday, August 1, 2009

Pengganas Mimpi

Demi Tuhan, aku sudah temui tempat yang agak strategik untuk bermalam sekarang. It isn't much, bak kata orang putih, tapi sekurang-kurangnya apabila tidur aku tidak akan dihalau oleh pihak berkuasa yang datang mengganggu, atau embun yang datang tidak menentu; dan ini sekali gus menggenapkan lelap aku lima enam jam tanpa terjaga-jaga*. Walaupun dikongsi bersama empat individu lain, aku tak kisah mengenangkan tempat ini cukup luas dan kebanyakan daripada mereka pun merupakan rakan bualan sebelum tidur yang baik; biarpun aku masih tidak faham aksen masing-masing (Jawa, Jawa, Kelantan, Kelantan-Thai). Cuma malangnya, bersama port baru ini, tercipta juga satu tabiat baru buat aku – mengigau.

Aku percaya dalam setiap keluarga mesti ada seorang ahli yang kaki mengigau. Dalam keluarga aku, sekurang-kurangnya dahulu, kakak akulah. Sewaktu kecil, aku yakin sangat kakak aku ada benda ikut sebab dia akan menjerit semasa tidur dengan sekonyong-konyongnya. Dia juga akan berjalan terkadang waktu; setelah menonton Fenomena dengan keluarga sewaktu aku berusia 7 tahun begitu, kakak aku melilau ke bilik air pada tengah malam lalu mandi (dengan menggunakan gayung dan penuh slo-mo) dalam keadaan masih berbaju. Dia juga pernah cuba keluar dari rumah lebih dari sekali; mangga yang terkunci selalu menyedarkannya dari lena.

Masalahnya dengan mengigau ini, individu yang mengalaminya ingat tak ingat apa yang telah terjadi esoknya. Kadang kala, kakak aku akan terlihat beruang teddynya sudah jauh tercampak ke hujung bilik dan tersedar yang dia ada “bergasak” dengan Cthulhu atau raksasa Lovecraft yang lain malam tadi. Tapi dia hanya benar-benar tahu segala benda merepek yang berlaku ketika dia tidur apabila aku memberitahunya. Biasanya hal ini akan dijadikan bahan lawak ringan sahaja; kini apabila teringatkan siri peristiwa berkenaan, aku gerenti akan buka cerita pada malam dia terjaga dan percaya aku adalah Buffalo Bill dari Silence of the Lambs, dan aku hendak menembaknya di dalam bilik gelap seperti klimaks filem tersebut.

Tapi tabiat itu berhenti begitu saja tatkala dia memasuki alam remaja. Dan sekarang ini, aku rasa “saka” tersebut sudah turun pada aku. Yang pertama terjadi sewaktu aku bermalam di KL Sentral sekitar dua minggu lepas. Selepas pulang dari Pulau Pinang dengan sehelai sepinggang, aku mengambil keputusan untuk bermalam di sana selama beberapa hari. Aku tidur di suatu sudut Secret Recipe bersama seekor kucing yang aku namakan Nola**. Aku hampir-hampir bunuh minah tu apabila aku terjaga lantas memijak-mijak kusyen yang dibaringi; Nola terloncat ke tepi dan memerhatikan aku, terkebil-kebil.

See
, aku cukup yakin yang seseorang telah simbah minyak tanah ke segenap restoran itu dan tunggu masa nak hidupkan mancis lalu membakarnya. Aku memang konfiden dengan hakikat ini buat seketika sebelum aku mula sedar dan dengan penuh Fonzy kembali tidur. Nola, aku sudah tidak tahu hilang entah ke mana.

Kejadian itu memang pelik sebab aku boleh mengingati segalanya dengan sendiri, jadi pada mulanya aku tidak pasti sama ada aku mengigau atau tidak. Apatah lagi ia tidak berlaku lagi selepas itu, sehinggalah empat malam sudah. Lainnya, aku tidak mempunyai sebarang memori tentang igauan tersebut. Begitu juga dengan malam kelmarin. Begitu juga dengan malam sudah. Begitu juga dengan malam tadi. Yang pasti (seperti yang diceritakan oleh empat rakan aku itu), aku kejutkan mereka dalam keadaan cuak, memberi amaran bahawa suatu malapetaka akan terjadi. Lazimnya mereka cuma rasa sebal dan arah aku kembali tidur. Selepas merengus dan memberitahu “kalau korang nak kena gilis traktor/kena makan dek kerengga mutan/kena tolak dari bangunan oleh pegawai SPRM itu sukati koranglah!” aku kembali lelap. Tapi malam tadi memang terbaik.

“Bangun, bangun!” Aku goncang badan setiap orang.

“Gapo dio?” tanya Kelantan.

“Tu, tu! Tengah datang sini, guling-guling tu!” Aku menuding ke arah sebuah gerai yang dibungkus kanvas biru tidak sampai lima meter dari situ, cemas.

“Tak dok gapo pung?” sela Kelantan-Thai.

“Tu, tu!” aku membalas, “Takkan korang tak nampak dunia tengah kiamat?”

Seperti yang diceritakan semula kepada aku, meskipun aku berterusan mengadu domba bahawa dunia sedang kiamat selama beberapa minit, lama-kelamaan aku mula sedar betapa bahlulnya semua ini lalu kembali rebah ke lantai.

Aku akan cuba menyampaikan perkembangan terkini mengenai hal tidur-terjaga aku ini tatkala aku berterusan mengigau, mengganas seraya membunuh hening malam.

*Tempat ini agak terbuka, jadi adalah lebih baik memulakan tidur sekitar jam 12 dan bangkit sebelum kawasan ini hidup balik dalam enam pagi.

**Sempena watak Scarlett Johansson dalam Match Point to show how doomed our relationship is; aku ingat cara hidup Paleolitik aku yang akan menghalang, rupanya something else entirely. Damn!

0 comments: