Wednesday, August 5, 2009

Babad tentang Babah

Aku tak tahulah jika ada orang di luar sana yang lebih likable daripada babah. Kami empat beradik selalu kagum mendengar cerita-cerita atau menyaksikan sendiri bagaimana dia berkomunikasi dengan orang sekelilingnya; tidak kira usia, bangsa, agama atau latar belakang. Itu merupakan salah satu bakat yang diperolehinya, tapi kemampuannya untuk melayani seseorang itu, biarpun individu paling asing, dengan penuh simpati, empati dan saksama (bukan sekadar untuk menjual barang) adalah sesuatu yang tiada tolok bandingan.

Perkara ini bukan setakat diperakui sendiri oleh kami adik-beradik. Maksud aku, nah, anak normal mana yang tidak mendakwa ayah merekalah the greatest sonuvabitch that ever lived. Aku akui, ketika kecil, aku merasakan babah biasa saja; tiada beza dengan ayah lain kerana aku menyangkakan semua ayah begitu. Namun apresiasi ini muncul apabila aku, tatkala kian dewasa, mendengar rentetan sanjungan orang lain terhadapnya. Tanyalah sepupu-sepapat aku (biar sebelah ibu atau ayah) tentang pak cik terbaik; tanyalah para duainya (juga dari mana-mana pihak) tentang ipar paling dihormati, aku pasti semua jari akan menuding kepadanya. Di kalangan kenalan juga begitu. Antara pengalaman yang aku tidak boleh lupakan adalah semasa mula-mula bertemu Sinaganga (yeah, that one) beberapa tahun lalu. Mendengar kupasannya tentang kegempakan babah yang pernah menjadi bosnya suatu ketika dahulu, aku tiada lain hanya mampu merasa rendah diri dengan rakan taulan yang duduk semeja, dan kepada babah atas keupayaannya menyentuh orang bukan setakat seketika, malah untuk satu tempoh yang lama.

Babah, atau Hasan@Hassan bin Abdul Majid, adalah seorang yang independen. Sewaktu kecil dia dipisahkan daripada kembarnya lalu tinggal dengan ibu bapa angkat di ceruk Kuala Kangsar. Dia hanya kembali kepada keluarganya di Kuala Lumpur pada usia awal remaja, namun kemesraan di antara mereka tidak pernah cepu. Dengan mempunyai seorang ayah yang bipolar, babah lebih banyak menghabiskan hidupnya sesudah itu sendiri* sehinggalah dia berumah tangga pada tahun 1973. Anehnya, biarpun terasing daripada adik-beradik, babah tidak pernah begitu terhadap kami sekeluarga; malah dia sentiasa mendakap kami seerat mungkin. Pernah sekali aku bertanya, adakah dia begitu kerana bertekad tidak mahu sejarah hidupnya berbolak kepada anak-anak pula? Katanya tidak juga, dia tidak pernah meletakkan sebarang azam pada apa-apa khususnya hal tersebut. Secara pragmatiknya, dia hanya melakukan yang terbaik untuk semua. “Rasanya babah memang macam tu kot?” jelasnya.

Keluarga kami boleh dikatakan sederhana mewah. Namun semua ini tidak akan berlaku jika tidak kerana usaha babah sendiri. Di siang hari babah merupakan pegawai seni reka di Dewan Bahasa dan Pustaka, di sebelah malam dia adalah artis bebas untuk apa sahaja kerja melukis di luar sana – ilustrasi untuk majalah grafik Fantasi, pereka kulit buku-buku ilmiah terbitan universiti tempatan; hei, sebarang buku subversif bawah tanah pun. Aku masih ingat kami adik-beradik sering berkumpul di studionya untuk berbual dan berbual dan melihatnya bekerja hingga larut malam. Dalam retrospektif, aku agak kagum babah boleh melayan kerenah kami adik-beradik seraya melakukan tugasnya; aku tatkala menulis entri ini pun, jika boleh, tidak mahu melihat kelibat sesiapa.

Setiap adik-beradik aku mempunyai pengalaman tersendiri dibesarkan oleh babah. Tidak tahulah jika aku adalah anak yang paling disayangi, namun aku percaya aku di antara yang terapat. Sebagai satu-satunya ahli keluarga yang lahir pada era 80-an, aku ketinggalan satu generasi dengan abang-abang serta kakak aku. Maka sedang aku membesar dan dibuai manja oleh babah, adik-beradik aku sudah jauh memasuki alam punk rock. Aku tidak perlu berkongsi perhatian dengan sesiapa, dan boleh dikatakan aku tidak pernah berenggang dengan babah. Mungkin kerana itulah aku tidak takut hendak berbicara dengannya tentang isu-isu pentan atau serius. Ketika di tingkatan dua, aku ada bertanya kepada babah kalau-kalau aku boleh hisap rokok. “Boleh,” jawabnya tenang sebelum menyambung, “Tapi kau tak dapat apa-apalah.”

Ego aku langsung membengkak dan sepuntung rokok pun aku tidak pernah sentuh hingga kini. See, babah tahu audiensnya apabila bercakap. Dia tahu jawapan tersebut akan memberi tamparan kepada aku, tapi mungkin tidak akan berjaya untuk orang lain. Lagi hebat, dia melakukannya dengan penuh bergaya. Kata-kata yang keluar dari mulutnya tidak penah berbentuk didaktik atau syarahan. Walaupun bercakap dengan cucu berusia lima tahun, dia melayannya seperti manusia sahih yang didatang dengan isi, tulang dan otak; langsung tidak melihatnya sebagai subjek yang harus dibuli atau dikekang. Ya, sudah tentu babah ada sisi sinikalnya sendiri, namun sikap itu tidak pernah diguna sebagai benteng untuk megah diri. Ada pendapat mengatakan jika mahu dilihat cool, jadilah diri sendiri. Selama aku mengenalinya 26 tahun, aku kira itulah pedoman babah seumur hidup.

Pada tanggal 1 Mei 2009, babah dimasukkan ke hospital akibat mengalami keracunan darah berpunca dari gejala prostatnya – bermula dari buah pinggang, ia naik hingga ke hati. Tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal, babah serta-merta tidak sedarkan diri. Kami adik-beradik, bak kata orang putih, hit all time low***. Selama berhari-hari aku berasa separa sedar; terdampar di antara igauan dan realiti. Namun sedikit harapan tersemat apabila setiap hari teman-teman surau, kawan-kawan lama sepejabat, sahabat handai sekolah, rakan pelukis dan saudara jauh dekat tidak putus-putus datang melawat. Malah kadang kala kami adik-beradik tidak menang tangan melayan. Ini bagi aku adalah bukti seorang lelaki yang budiman. Setiap yang datang mempunyai anekdot masing-masing tentang babah untuk dikongsi yang selalunya disudahi dengan linangan air mati tidak kira lelaki perempuan. Aku percaya dengan itu, segala panjat doa juga tidak pernah lekang. Miraculously, bak kata doktor (bukan mat salleh), babah terjaga dari komanya pada hari kesembilan, dan kembali sihat perlahan-lahan sehinggalah dibenarkan keluar wad sebulan kemudian. Syukur aku tidak pernah ternoktah hingga hari ini.

Apa yang paling menarik tentang babah bagi aku ialah dia bukan Superman (seperti kebanyakan orang sering mengecap ayah mereka). Babah adalah seorang yang banyak ralatnya, yang mempunyai sisi gelapnya sendiri, yang ada jatuh bangunnya; namun itulah yang menjadikannya manusia, dan itulah yang membuatkan aku amat mudah berhubung dengannya. Golnya hanya satu: Untuk buat yang terbaik dengan apa yang ada despite his flaws. Aku lihat babah sebagai doktomi asas manusia – apa yang menjadikan seseorang itu orang. Sayangnya, disebabkan hal tertentu yang tidak dapat dielakkan, aku perlu berjauhan dengan babah sekarang. Aku akan kembali suatu hari nanti, menjadi anak lebih baik dari semalam bagi membalas jasanya. Lagipun, seperti babah pernah kata,

“Kalau jalan yang kita pilih dalam hidup ni tak jalan, apa susah, we start again.”

Dan aku sedang dalam proses melakukan exactly that. Selamat hari jadi yang ke-63, bak. Semoga panjang umur dan sihat walafiat hendaknya. Amin.

*Hidupnya dalam fasa ini memang penuh pertualangan. Antara kisah yang paling menarik adalah pengalamannya menetap di kawasan Cina ketika 13 Mei 1969, disenarai hitam dari memasuki Kampung Baru selama beberapa tahun, kisah cinta pertamanya yang tidak kesampaian, dan sudah tentu, misi menculik anak seorang kawan (yang hak milik penjagaannya dengan tidak adil diberi kepada si bekas isteri) yang boleh bikin Danny Ocean cemburu sampai terkeluar tulang rangka.

**Oh, babah jugalah yang banyak mengasah minat aku terhadap filem. Terima kasih, bak, sebab tidak hanya menyumbat otak aku dengan kartun (tapi dengan filem seram ganas dan berat-berat sekali) semasa kecil dahulu.

***Mamah steady; setitis air mata pun tidak pernah keluar. Aku sebenarnya hendak menceritakan serba sedikit tentang hubungan unik mamah babah, tapi aku fikir that alone deserves its own entry.

0 comments: