Tuesday, August 18, 2009

Korokpok

Di atas riba aku terletak kemas satu pek Keropok Ikan Segera Cap Pinggan dan Keropok* keluaran Keluarga Mak Wan Enterprise. Aku tahu kau tahu keropok ini. Ia didatangkan dalam bungkusan berwarna hitam-oren pada harga sekitar seringgit setengah. Pasar mini yang berdekatan dengan tapak lepak aku ada jual kudapan ini, tapi tidak tahulah jika ia adalah pengilangnya sekali berikutan jumlah stoknya yang banyak ala neraka. Setiap kali aku ke kaunter untuk membayar setin rut bir A&W atau (seperti kesnya hari ini) bir halia F&N, entah bagaimana aku terkesima untuk membelinya sekali.

Memang pelik mengenangkan aku agak menyampah keropok motherfucker ini.

Yang pertama-tama, aku benci kelemauannya. Kepayahan menggigitnya sudah satu hal; lagi teruk dalam setiap tiga empat keping yang aku capai, satunya darinya gerenti tidak boleh dikunyah makan langsung. Di kampung aku di Singapura (khususnya di Geylang), dengan senang-lenang aku boleh mendapatkan keropok mentah – diimport segenerasi sebelum itu dari Terengganu – yang lebih rangup berjuta-kelahiran-semula-kali-ganda dari keropok motherfucker ini (itu pun yang belum digoreng lagi).

Paling bangsat bagi aku adalah rasanya yang tidak sedap langsung, hanyir seperti tiga hari punya ikan cencaru yang digoreng semula empat kali. Dalam menjadi vagabond sekarang, sudah tentulah setiap hari aku disajikan dengan hidangan kedai yang seakan tidak dimasak pada hari yang sama; jadi tidak tahu jika aku mampu bertahan menikmati siri juadah yang sepatutnya sudah diangkut oleh lori sampah sekurang-kurangnya 48 jam yang lalu.

Persoalan yang tinggal, sudah tentu, adalah sebab musibat aku masih membelinya. Seperti yang diceritakan tadi, dalam pada aku sedang beratur seraya cuba menutup pemerhatian aku terhadap anak gadis tuan kedai tersebut dengan merenung barangan yang berdekatan dengannya, aku merasakan cukup bernas untuk membeli keropok ini. Aku tidak begitu memahami proses pemikiran yang, tanpa sedar jadinya, memaksa aku capai salah satu paket berkenaan dan meletaknya di kaunter di hadapan tuan kedai yang mempunyai susuk tubuh serupa Gordon Craven dari The Addams Family**. Yang pasti, aku fikir ia adalah perbuatan yang masuk akal; yang akan memberi aku kepuasan dengan membelinya; yang akan memenuhi segala janji ikrar bahawa ia adalah jajan terhebat masa kini yang bersesuai dengan cita rasa golongan awesome seperti aku.

Sebahagian darinya adalah keinginan menghauskan kerongkong sendiri. Kau pun tahulah, setiap kali membeli kudapan, sudah tentu ia akan disertakan dengan minuman sekali untuk membasahkan tekak. Dalam hal ini aku terbalik; beli air dan kemudian cari snek yang membuatkan aku mahu meneguk lebih banyak lagi. Memperlihatkan pilihan air yang dibeli, aku kira ia adalah satu bentuk self-fulfilling diabetese.

Tapi aku percaya ia melangkaui nafsu untuk mencicip. Jelas aku mempunyai pilihan lain. Segala keropok tempatan dan luar negara tersusun cantik di rak yang sama; boleh saja aku memilih mana-mana yang juga berkemampuan meloyakan aku. Aku rasa aku tertarik dengan bungkusannya. Tidak banyak makanan ringan di luar sana yang berani tampil dengan bungkusan lutsinar seperti keropok ini. Dari awal kau sudah tahu bagaimana rupanya, jadi ia menawarkan kau pilihan selamat jika hendak dibanding dengan produk lain yang berkemungkinan besar datang dalam bentuk Syaitan. Tambahan lagi, rupanya tiada beza dengan keropok ikan segar yang dipasarkan di Pantai Timur. Melihat dari jauh, lidah kau seolah-olah sudah mampu membayangkan bagaimana rasanya kelak. Malah, segala memori zaman kanak-kanak kau ketika memamah keropok ikan yang digoreng oleh ibu barang kali turut sama terimbau. Selain itu, paketnya yang kecil tetapi sendat membuatkan kau rasa berbaloi dengan jumlah wang yang dikeluarkan; biarpun pada suapan pertama nanti kau akan sedar bahawa tiada nilai wang di muka bumi yang setara dengan kehambaran keropok ini.

Jadi sejam kemudian di sinilah aku bersimpuh dengan rasa mual di kerongkong, tertanya-tanya kenapa aku sanggup menjahanamkan diri sendiri dengan jajan ini. Mungkin di entri lain aku akan bercerita tentang usaha aku menghabiskan keseluruhan pek (klu: Aku gagah dan gelojoh), tapi yang nyata sekarang perahu sudah pun terlajak. Apa yang menyeramkan aku adalah di waktu lain nanti – mungkin esok, mungkin lusa, atau mungkin kejap lagi – aku akan berjejer lagi di pasar mini tersebut lalu terpandang keropok motherfucker ini...

*Ini aku terpaksa puji, the best name of a product of any kind in history.

**Pak cik, tolonglah buat pembedahan atau jumpa dukun. Saya tidak tahu berapa banyak dosa lagi yang terdaya saya tanggung menggelakkan pak cik di dalam hati pada setiap masa.

0 comments: