Monday, August 17, 2009

Kejoraku Berdua

Aku dan seorang rakan vagabond, Jawa II telah menemui port baru untuk kami berlabuh tubuh setiap malam. Lokasinya – di atas bangunan – agak sunyi dan gelap; berbanding dengan tempat sebelum ini yang semakin diseluruhi makhluk lain dan mulut mereka yang tidak reti diam sewaktu orang lain sedang tidur. Ironis rasanya apabila memikirkan aku tidak kisah para gelandangan ini mengecek makanan aku setiap hari, menggodam komputer riba aku pakai kaki, tidur di bahu aku sampai terhambur air liur basi; heck, malah aku tidak kisah melihat jarum dicacah ke urat kepala mereka bagai masing-masing tidak sabar hendak mati. Tapi bila tiba perihal bising-bising ini, jauh sekali aku boleh bertoleransi.

Bagaimanapun, di situ kami berdua bertelentang malam tadi. Mengenangkan tiada tempat cucuh plag di sekeliling, seperti biasa kami berbual sehinggalah mulut masing-masing terkatup bak mata sendiri. Topik perbualan kami bertukar-tukar – daripada tentang Ramadhan dan Yom Kippur sehinggalah kepada Barack Obama – namun pada suatu ketika, Jawa II terdiam setagal. Dengan matanya tepat ke langit, dia kembali bersuara dengan aliran berlainan, sedikit pasif.

“Zim, kau tengok atas tu... apa kau nampak?”

Aku mengamati serakan bintang yang lebih terang dari biasa itu sebelum dengan klisenya menyanyikan empat huruf pertama Kau Ilhamku.

“Jadi bagi kaulah... apa maknanya?” Suaranya kekal serius.

“Bagi aku makna dia...,” aku bertakat-takat. “Antara berbanyak planet dekat galaksi ni, kita bertuahlah diturunkan ke bumi. Dekat mata Tuhan kita ni kecil je, tapi tu tak bermakna kita tak payah struggle setiap hari to be worthy of our blessings. Dari segi meteorologikalnya pulak, ni bermakna esok hari akan cerah.”

Jawa II hanya tandus, memaksa aku bertukar posisi sebagai penanya. “Kau pulak... kau rasa apa maknanya?”

“Bagi aku...,” dia berkata dengan tenang. “Ni maknanya aku still tak ada fucking tempat tidur yang appropriate.”

0 comments: