Friday, August 14, 2009

Dendang Penghirau

Aku suka dengar luahan orang. Bagi aku ia adalah satu aktiviti sihat yang sepatutnya lebih ramai orang buat. Kebanyakannya cuba menjauhkan diri dari ia seolah-olah lebih sanggup terkena, bukan setakat selesema; malah segala kencing manis, lemah jantung, darah tinggi babi. Aku tidak tahulah jika perkara ini bergantung kepada individu. Tapi yang pasti sejak kecil, aku tidak pernah kisah sedekahkan sedikit ruang gegendang aku untuk masalah orang. Dan kebanyakan orang pun memang tidak kisah menyambut gegendang aku sebagai blog sementara mereka.

Apa yang aku suka tentang aktiviti ini adalah ia kadang kala mengingatkan aku kepada pengalaman menonton filem. Maksud aku bukan dari aspek hiburannya (well, mungkin adalah sikit untuk bikin gelak dalam hati), tapi dari aspek pemahaman kita terhadap diri masing-masing; dengan menyelami kehidupan serta perasaan orang lain dan mentafsir perkara tersebut melalui pengalaman kita balik. Ya, acap kali terdapat sesetengah kisah yang merawankan, tapi sebagai pendengar jelas kau mempunyai – bak kata orang putih – the upper hand dari segi emosi (tidak seperti filem). Tatkala sedang mendengar, boleh saja kau menyelitkan sedikit humor, sketsa sampingan untuk mengawal ton keadaan. Yang penting kau jangan sama-sama meraung dan sudahnya mengehalkan masalah kau pula; memang serius ass kalau benda tu jadi.

Lagi satu sebab aku suka, terutama mendengar luahan mereka yang aku kenal, adalah ia membiaskan tabii kemanusian peluah itu. Kita semua manusia; masing-masing mempunyai kelemahan sendiri. Namun melalui kelemahan itu jugalah kita dapat berhubung dengan satu sama lain. Dan aku suka melihat orang yang tanpa gusar menceritakan salah laku mereka atau sebagainya sebab dengan cara itulah wasilah akan menjadi lebih akrab. Sesetengah orang benci melepaskan isi hati mereka dan hal ini membuatkan aku bingung. Maksud aku, tolonglah, siapa yang kau nak tipu. Kita semua bermula dari tanah, okey; bukan cahaya. Bila kau terlalu berusaha untuk menunjukkan betapa sihatnya batin kau, ia bukan sahaja memperlihatkan kau sekeras piksel CG; malah bosan nak mampus. Gemulah Bill Hicks pernah berjenaka: Kau tahu siapa yang tidak mengadu domba tentang pergolakan jiwa mereka kepada teman-teman? Pembunuh bersiri.

Sejak menjadi vagabond, aku lebih banyak meluangkan masa aku mendengar rintihan orang; dan serius shit, tempat aku lepak sekarang agak penuh dengan golongan yang amat bersedia membabadkan kesusahan mereka tanpa mengharapkan belas kasihan. Dan kebanyakannya menyudahkan kisah mereka dengan ucapan terima kasih kerana kesudian aku mendengar. Memang kelakar apabila memikirkan aku tidak berbuat apa-apa pun di sepanjang konversasi; hanya berteleku sepi tanpa memberi sebarang reaksi lisan.

Hatta, aku tidak faham kenapa orang begitu negatif terhadap hal ini. Lebih aku tidak faham jenis orang yang perlu menyatakan semacam solusi setiap kali diceritakan masalah, atau yang lebih teruk, memperlekehkan ia langsung. Ini tidak akan membantu, folks. Peluah berkenaan membogelkan rohaninya di hadapan kau, dan kau membalas dengan mencabar egonya lagi. Nah, aku bukanlah berhati mulia sangat namun untuk melakukan benda ini kau tidak perlu mempunyai hati seharum skarum pun. Aneh rasanya apabila membayangkan terdapat ramai orang di luar sana tidak nampak bahawa dengan menjadi pendengar yang baik kita dapat menabur benih kebajikan di dalam hidup orang (seraya menimba pengalaman untuk diri sendiri) tanpa mengeluarkan sesen atau sekudrat tenaga pun (okey, barang kali sedikit masa).

Adakah ini berpunca dari ideologi berhaluan kanan yang sudah tertanam di dalam diri kita sejak dahulu; bahawa segala kesukaran di dalam benak ini boleh disisihkan tanpa perlu dibawa bicara dengan sesiapa; bahawa seantero kesulitan boleh ditolak tepi dengan semangat kental semata-mata? Kebenarannya, kita semua tidak segagah itu; ada sebab kenapa manusia hidup bermasyarakat dan bukannya di dalam kepompong sendiri. Ya, aku pun jauh dari sempurna, namun inilah ketahkikannya, kawan-kawan: Jadilah seorang pendengar; biarpun ia senaif perbualan yang aku alami dengan seorang gadis di YM tadi.

blond_times2:
Aku ada masalah la, Zim. Aku ingat nak break dengan boyfriend akulah.
nazimisawesome83:
Serius?
Apasal?
blond_times2:
Takdelah, dia selalu sangat nak betulkan aku – apa je yang aku cakap. Malam tadi aku jumpa dia; aku kata, “Adi, we need to talk.” Kau tau apa yang dia balas?
nazimisawesome83:
Apa?
blond_times2:
Honey, my name's Syamsul.See?!?? Apa yang aku cakap semuanya salah!

Well
, mungkin janganlah senaif itu.

0 comments: