Friday, August 21, 2009

Fantasi O Realiti O Muhyiddin

Tidak, blog ini masih tidak berubah menjadi laman menghentam kerajaan. Sekurang-kurangnya, belum lagi. Sebaliknya, aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kau banyak membantu aku dengan teori kau bahawasanya Badan Peguam Malaysia memang “busybody” kerana cuba memecah tembelang Rohaizat Othman, calon BN untuk pilihanraya kecil Permatang Pasir akan datang berkenaan kes salah lakunya sebagai peguam dahulu. Aku betul-betul ikhlas, Muhyiddin. Terima kasih yang tidak terhingga.

See
, seumur hidup aku dididik bahawa kebenaran adalah segala-galanya. Dan jika kebenaran yang kau tidak suka datang memaranaweh kau tepat ke muka, kau hanya ada dua pilihan: Kau boleh kekal berdiri, rendahkan hidung kau, dan angkat kaki. Atau lebih mudah, kau mengaku silap sahaja. Selama ini aku ingat cuma itu seleksinya. Tidak tahu pula aku sebenarnya ada alternatif ketiga: Menolak langsung kebenaran dengan mencipta hakikat kau sendiri. Demi Tuhan, kalaulah aku tahu perkara ini sejak di bangku sekolah dahulu...

“Aaa, Zim, setelah melakukan spotcheck ke atas loker kamu tadi, pihak sekolah mendapati kamu ada menyimpan ganja sebanyak satu kilo setengah.”

“*Separuh berbisik* Hmph, busybody!

“Apa?”

“Tak, saya cuma cakap cikgu busybody; duk campur hal saya.”

“Tapi saya cikgu, Zim, dan awak memang pun simpan ganja yang bukan setakat menyalahi undang-undang sekolah; malah negara.”

Still, cikgu tetap busybody. Sama macam polis dekat luar yang tangkap penjenayah – sukatilah orang nak jadi apa pun: Perompak ke, perogol ke, pembunuh ke; sibuk apa hal?!”

Lihatlah, kawan-kawan. Kita sedang berbicara tentang salah laku ahli politik di sini. Sejak bila pula hal baik buruk perwakilan kita (dari segi profesional, bukan peribadi) merupakan sesuatu yang tidak wajar dihebahkan? Anwar Ibrahim suka main bontot dan perlu dibawa ke mahkamah? Silakan, aku tak kata kerajaan busybody. Karpal Singh hina Islam? Ketengahkan, aku tak kata saudara seagama aku busybody. Pas adalah Parti Agama Sesat ? Bincangkan, aku tak percaya ada pihak yang boleh dicop sebagai busybody pun dalam hal ini. Segalanya dibuat atas nawaitu mencari kebenaran. Jadi apa yang istimewa sangat tentang Rohaizat sehingga kewibawaannya tidak patut dipersoal?

Oh ya, baru ingat dia dari parti mana.

Aku kira satu-satunya (dalam satu-satunya) kebaikan menjadi orang UMNO ini adalah kau boleh berkata apa sahaja asalkan agenda kau dapat diteruskan. Kata-kata kau barang kali cuma tin kosong tapi bunyi “ktung ktang” itu sudah cukup memadai bagi kau serta lain-lain. Apabila lawan kau memberi jawapan yang lebih kurang sama sekiranya dilanda tuduhan kau pasti akan marah dan bentak, tapi apabila kau berada di posisi yang sama... ah, itu lain cerita. Manipulasi, teman setia anda!

Aku rasa elok kita cuba terap gaya ini ke dalam hidup seharian; sewaktu kita ditegur kerana berkelakukan biadap di jalan raya, memotong barisan semasa di kaunter, dan membuang kahak di sinki restoran. Percayalah, dengan menolak logik dan hakikat, keadaan akan menyebelahi kau. Ia akan melepaskan kau dari sekalian renggut. Sekiranya ia tidak membantu, jangan khuatir, tutup mata, telinga dan otak kau lalu jerit “La la la la la” kuat-kuat; serius, itu pun boleh.

Dan jikalau terdapat jutaan orang yang ada akal percaya kau tidak betul, you know what, fuck them! Siapa mereka nak menghakimi kau? Busybody!

Read more...

Thursday, August 20, 2009

Dammit Masa!

Semalam, Jawa I, Kelantan dan Kelantan-Thai kembali lepak bersama aku dan Jawa II di port baru kami. Namun ini bukanlah peralihan yang bagus pun mengenangkan aku adalah salah seorang daripada dua pemakai jam di dalam geng ini yang sering ditanya pukul berapa. Jawa II juga ada, tapi tidak diketahui mengapa hanya aku seorang menjadi mangsa; biarpun ketika aku telah jauh terdampar di alam dengkur pada tengah malam.

“Oi, Zim. Puku brapa skarang doh?” Dalam redam dendam, aku terdengar suara Kelantan di sisi cuping. Aku berkalih ke arah jam di tangan yang bergelapkan zulmat suasana.

“2:30.”

“2:30 doh?”

“Ya, 2:30 'doh.'” sambut aku. “Untuk pengetahuan kau, masa bergerak, okey? Surprise.”

Aku kembali lelap. Pun begitu, belum sempat mimpi berinisiasi, Kelantan-Thai pula menggerak-gerakkan bahu aku yang merabung tubuh mengereng.

“Puku brapa?” Memperdengarkan suaranya yang lesu, aku menduga-duga apa yang mereka ingin tahu sangat tentang masa. Bukannya mereka perlu menelaah matematik tingkatan empat atau apa pada malam-malam begini. Tambahan pula, setiap seekor hanyalah sampah masyarakat; aku percaya soal jam adalah perkara terakhir yang perlu dirisaukan mereka dalam hidup ini.

Kesedaran ini membuatkan aku semakin tidak senang (baring?) duduk. Lantas, aku berteriak ke muka Kelantan-Thai perihal jam berapa lalu menghalaunya.

“Dah, dah, aku tak tahu pukul berapa daaahhh!!!” dedau aku.

Ketika mata kembali hendak terkatup, dari jauh aku terlihat Jawa II sedang melangkah pantas ke sini sambil menarik zip. Tengah kencinglah tu waktu dengar suara aku tadi, aku menimbal sendiri.

Jawa II terus berjalan menghampiri aku. “Apa?!” soal aku, menengking sebaik sahaja dia bercangkung di sisi.

“Kau tak tahu pukul berapa?" soalnya, jujur. "Jam kau mati ke, dude? Sekarang pukul 3:05 la.”

Read more...

Wednesday, August 19, 2009

Polis, Dia Raja Malaysia: Atau, Kesedaran Datuk Nur Jazlan Mohamed yang Hanya Timbul Kira-Kira Seminggu Lalu

Aku percaya bukan semua anggota polis di luar sana itu anjing. Seperti aku percaya bukan semua pemeluk Zionis itu lembu, dan bukan semua penganut Wahabi itu kambing; dan, sudah tentu, bukan semua babi itu ahli UMNO. Tapi apabila kita bercakap tentang “fuck the police,” jelas kita maksudkan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Di mata kita, institusi polis bukan sahaja tidak membiaskan erti Tegas, Adil dan Berhemah seperti yang dicanang slogan, malah mereka seolah-olah berada di sisi spektrum yang langsung berlawanan.

Dan hal ini baru sahaja disedari oleh Ahli Parlimen Pulai – Datuk Nur Jazlan Mohamed, seperti yang diceritakan di dalam entri terbaru kolumnya di The Malaysian Insider (di sini). Yang menarik, ujarnya sendiri, selama ini dia merupakan penyokong kuat PDRM. Setiap kali ada sesiapa datang mengadu tentang polis, dia bertegas bahawa kita seharusnya meletakkan lebih kepercayaan kepada mereka kerana kita tidak mempunyai alternatif lain. Bagaimanapun, kini tidak lagi. Jelasnya, PDRM bermasalah dan perlu dilakukan pembaharuan secara menyeluruh. Tahu kenapa? Sebab isterinya dirompak baru-baru ini.

What. The. Fuck
.

Tapi hal ini bukan berlaku akibat segala birokrasi yang perlu ditempuhinya ketika berurusan dengan pihak polis. Tidak. Ini kerana dia baru menyedari – dengan perihal isterinya dirompak di luar rumah sendiri pada siang hari – bahawa keselamatan di Malaysia jauh sekali terjamin. Nah, aku tidak marah apabila seseorang pemimpin itu baru menyedari ada sesuatu tidak kena dengan negara ini... eh, kejap, aku memang marah; lagi aku marah adalah jenis pemimpin yang sudah menyedari hal sebenar sejak dulu, namun selagi ia tidak kena batang hidung sendiri selagi itulah sebarang tindakan tidak diambil.

Aku berkata begini kerana mengikut kata Jazlan, kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari, dan PDRM jelas tidak membantu untuk mengurangkannya: When I told them (orang ramai) that the statistics point to a reduction in crime, they dismiss it and say many of them don’t bother to report petty thefts as they have no confidence that the culprits would be caught anyway.Tambahnya lagi, In fact, when they did make reports, many of them were told exactly that by the investigating police officers.” Aku tidak percaya Jazlan baru menyedari hakikat ini sekarang, seolah-olah dia hanya tahu Michael Jackson negro kira-kira sebulan lalu.

Terus terang cakap, aku tidak mahu menambah lagi rasa bosan kau orang membaca blog ini dengan membuat kupasan lanjut artikel tersebut. Kau orang pun boleh baca sendiri. Tiada apa yang mengejutkan dan tiada apa yang kita tidak pernah dengar sebelum ini. Sedikit sebanyak, dia menceritakan rentetan ketidak keberkesanan PDRM yang lain*, dan bagaimana hendak mengubah modus operandi polis dengan menukar tampuk kepimpinan secara menyeluruh, dan tekadnya untuk menyuarakan hal ini kepada Perdana Menteri sendiri... oh tidak, itu tidak ada.

Apa yang nyata, folks, inilah pemimpin kita yang menggunakan falsafah sudah terhantuk baru terngadah untuk berbakti kepada rakyat. Ini bukanlah cerita baru, sejarah banyak membuktikan perkara ini berulang dan berulang sejak Merdeka lagi. Masalahnya, kita sudah jauh melangkaui zaman itu. Kita hidup pada era yang mendambakan pemimpin lebih kompeten dan komited dengan tugas kerana rakyat sudah mempunyai kuasa dan kebijaksaan untuk memilih yang lain. Namun jika beginilah hipokrisi kau dalam menangani kesulitan rakyat, aku percaya suatu hari nanti kau akan terkeluar dari barisan pilihan itu sendiri.

Wake up, wake up!

*Tapi keganasan yang dilakukan pihak polis terhadap para pendemonstrasi jalanan tidak pula disentuh.

Read more...

Tuesday, August 18, 2009

Korokpok

Di atas riba aku terletak kemas satu pek Keropok Ikan Segera Cap Pinggan dan Keropok* keluaran Keluarga Mak Wan Enterprise. Aku tahu kau tahu keropok ini. Ia didatangkan dalam bungkusan berwarna hitam-oren pada harga sekitar seringgit setengah. Pasar mini yang berdekatan dengan tapak lepak aku ada jual kudapan ini, tapi tidak tahulah jika ia adalah pengilangnya sekali berikutan jumlah stoknya yang banyak ala neraka. Setiap kali aku ke kaunter untuk membayar setin rut bir A&W atau (seperti kesnya hari ini) bir halia F&N, entah bagaimana aku terkesima untuk membelinya sekali.

Memang pelik mengenangkan aku agak menyampah keropok motherfucker ini.

Yang pertama-tama, aku benci kelemauannya. Kepayahan menggigitnya sudah satu hal; lagi teruk dalam setiap tiga empat keping yang aku capai, satunya darinya gerenti tidak boleh dikunyah makan langsung. Di kampung aku di Singapura (khususnya di Geylang), dengan senang-lenang aku boleh mendapatkan keropok mentah – diimport segenerasi sebelum itu dari Terengganu – yang lebih rangup berjuta-kelahiran-semula-kali-ganda dari keropok motherfucker ini (itu pun yang belum digoreng lagi).

Paling bangsat bagi aku adalah rasanya yang tidak sedap langsung, hanyir seperti tiga hari punya ikan cencaru yang digoreng semula empat kali. Dalam menjadi vagabond sekarang, sudah tentulah setiap hari aku disajikan dengan hidangan kedai yang seakan tidak dimasak pada hari yang sama; jadi tidak tahu jika aku mampu bertahan menikmati siri juadah yang sepatutnya sudah diangkut oleh lori sampah sekurang-kurangnya 48 jam yang lalu.

Persoalan yang tinggal, sudah tentu, adalah sebab musibat aku masih membelinya. Seperti yang diceritakan tadi, dalam pada aku sedang beratur seraya cuba menutup pemerhatian aku terhadap anak gadis tuan kedai tersebut dengan merenung barangan yang berdekatan dengannya, aku merasakan cukup bernas untuk membeli keropok ini. Aku tidak begitu memahami proses pemikiran yang, tanpa sedar jadinya, memaksa aku capai salah satu paket berkenaan dan meletaknya di kaunter di hadapan tuan kedai yang mempunyai susuk tubuh serupa Gordon Craven dari The Addams Family**. Yang pasti, aku fikir ia adalah perbuatan yang masuk akal; yang akan memberi aku kepuasan dengan membelinya; yang akan memenuhi segala janji ikrar bahawa ia adalah jajan terhebat masa kini yang bersesuai dengan cita rasa golongan awesome seperti aku.

Sebahagian darinya adalah keinginan menghauskan kerongkong sendiri. Kau pun tahulah, setiap kali membeli kudapan, sudah tentu ia akan disertakan dengan minuman sekali untuk membasahkan tekak. Dalam hal ini aku terbalik; beli air dan kemudian cari snek yang membuatkan aku mahu meneguk lebih banyak lagi. Memperlihatkan pilihan air yang dibeli, aku kira ia adalah satu bentuk self-fulfilling diabetese.

Tapi aku percaya ia melangkaui nafsu untuk mencicip. Jelas aku mempunyai pilihan lain. Segala keropok tempatan dan luar negara tersusun cantik di rak yang sama; boleh saja aku memilih mana-mana yang juga berkemampuan meloyakan aku. Aku rasa aku tertarik dengan bungkusannya. Tidak banyak makanan ringan di luar sana yang berani tampil dengan bungkusan lutsinar seperti keropok ini. Dari awal kau sudah tahu bagaimana rupanya, jadi ia menawarkan kau pilihan selamat jika hendak dibanding dengan produk lain yang berkemungkinan besar datang dalam bentuk Syaitan. Tambahan lagi, rupanya tiada beza dengan keropok ikan segar yang dipasarkan di Pantai Timur. Melihat dari jauh, lidah kau seolah-olah sudah mampu membayangkan bagaimana rasanya kelak. Malah, segala memori zaman kanak-kanak kau ketika memamah keropok ikan yang digoreng oleh ibu barang kali turut sama terimbau. Selain itu, paketnya yang kecil tetapi sendat membuatkan kau rasa berbaloi dengan jumlah wang yang dikeluarkan; biarpun pada suapan pertama nanti kau akan sedar bahawa tiada nilai wang di muka bumi yang setara dengan kehambaran keropok ini.

Jadi sejam kemudian di sinilah aku bersimpuh dengan rasa mual di kerongkong, tertanya-tanya kenapa aku sanggup menjahanamkan diri sendiri dengan jajan ini. Mungkin di entri lain aku akan bercerita tentang usaha aku menghabiskan keseluruhan pek (klu: Aku gagah dan gelojoh), tapi yang nyata sekarang perahu sudah pun terlajak. Apa yang menyeramkan aku adalah di waktu lain nanti – mungkin esok, mungkin lusa, atau mungkin kejap lagi – aku akan berjejer lagi di pasar mini tersebut lalu terpandang keropok motherfucker ini...

*Ini aku terpaksa puji, the best name of a product of any kind in history.

**Pak cik, tolonglah buat pembedahan atau jumpa dukun. Saya tidak tahu berapa banyak dosa lagi yang terdaya saya tanggung menggelakkan pak cik di dalam hati pada setiap masa.

Read more...

Monday, August 17, 2009

Kejoraku Berdua

Aku dan seorang rakan vagabond, Jawa II telah menemui port baru untuk kami berlabuh tubuh setiap malam. Lokasinya – di atas bangunan – agak sunyi dan gelap; berbanding dengan tempat sebelum ini yang semakin diseluruhi makhluk lain dan mulut mereka yang tidak reti diam sewaktu orang lain sedang tidur. Ironis rasanya apabila memikirkan aku tidak kisah para gelandangan ini mengecek makanan aku setiap hari, menggodam komputer riba aku pakai kaki, tidur di bahu aku sampai terhambur air liur basi; heck, malah aku tidak kisah melihat jarum dicacah ke urat kepala mereka bagai masing-masing tidak sabar hendak mati. Tapi bila tiba perihal bising-bising ini, jauh sekali aku boleh bertoleransi.

Bagaimanapun, di situ kami berdua bertelentang malam tadi. Mengenangkan tiada tempat cucuh plag di sekeliling, seperti biasa kami berbual sehinggalah mulut masing-masing terkatup bak mata sendiri. Topik perbualan kami bertukar-tukar – daripada tentang Ramadhan dan Yom Kippur sehinggalah kepada Barack Obama – namun pada suatu ketika, Jawa II terdiam setagal. Dengan matanya tepat ke langit, dia kembali bersuara dengan aliran berlainan, sedikit pasif.

“Zim, kau tengok atas tu... apa kau nampak?”

Aku mengamati serakan bintang yang lebih terang dari biasa itu sebelum dengan klisenya menyanyikan empat huruf pertama Kau Ilhamku.

“Jadi bagi kaulah... apa maknanya?” Suaranya kekal serius.

“Bagi aku makna dia...,” aku bertakat-takat. “Antara berbanyak planet dekat galaksi ni, kita bertuahlah diturunkan ke bumi. Dekat mata Tuhan kita ni kecil je, tapi tu tak bermakna kita tak payah struggle setiap hari to be worthy of our blessings. Dari segi meteorologikalnya pulak, ni bermakna esok hari akan cerah.”

Jawa II hanya tandus, memaksa aku bertukar posisi sebagai penanya. “Kau pulak... kau rasa apa maknanya?”

“Bagi aku...,” dia berkata dengan tenang. “Ni maknanya aku still tak ada fucking tempat tidur yang appropriate.”

Read more...

Sunday, August 16, 2009

Siri Bercakap dengan Binatang III

Setelah kembali beradun dengan khalayak kebelakangan ini, sukacita dimaklumkan bahawa halusinasi aku – melihat binatang bercakap – semakin hilang dari cepu fikiran. Tapi memang dustalah jika aku mengatakan aku tidak merindui segala obrol dan hilai tawa bersama spesies bahlul itu. Ketika sedang asyik duduk bersarapan di tengah kota awal pagi tadi, seekor burung kakak tua hinggap di (jendela?) kerusi sebelah. Memikirkan ia adalah salah seekor binatang yang mampu bercakap dengan manusia tanpa memerlukan kita menurunkan kadar siuman, aku pun melontar kata-kata kosong kepadanya,

“Aku boleh cakap.”

“Akuuu,” balasnya, dengan fonetik yang macam syaitan, “boleyyy cakkapp.”

“Aku tengah makan.”

“Akkku ttengahh makaaann.”

Secuil tawa terluah, aku melepaskan sudu garfu dari genggaman lalu menepuk sekali kedua belah tangan.

“Aku ada awek,” sambung aku, menambah kompleksiti sebutan.

“Aahhh...,” sahutnya, “tuu tipulahh ttuuu.”

Read more...

Kehadapan AKAB...

You know what punkers don't do?

Call themselves punkers.

Read more...

Friday, August 14, 2009

Dendang Penghirau

Aku suka dengar luahan orang. Bagi aku ia adalah satu aktiviti sihat yang sepatutnya lebih ramai orang buat. Kebanyakannya cuba menjauhkan diri dari ia seolah-olah lebih sanggup terkena, bukan setakat selesema; malah segala kencing manis, lemah jantung, darah tinggi babi. Aku tidak tahulah jika perkara ini bergantung kepada individu. Tapi yang pasti sejak kecil, aku tidak pernah kisah sedekahkan sedikit ruang gegendang aku untuk masalah orang. Dan kebanyakan orang pun memang tidak kisah menyambut gegendang aku sebagai blog sementara mereka.

Apa yang aku suka tentang aktiviti ini adalah ia kadang kala mengingatkan aku kepada pengalaman menonton filem. Maksud aku bukan dari aspek hiburannya (well, mungkin adalah sikit untuk bikin gelak dalam hati), tapi dari aspek pemahaman kita terhadap diri masing-masing; dengan menyelami kehidupan serta perasaan orang lain dan mentafsir perkara tersebut melalui pengalaman kita balik. Ya, acap kali terdapat sesetengah kisah yang merawankan, tapi sebagai pendengar jelas kau mempunyai – bak kata orang putih – the upper hand dari segi emosi (tidak seperti filem). Tatkala sedang mendengar, boleh saja kau menyelitkan sedikit humor, sketsa sampingan untuk mengawal ton keadaan. Yang penting kau jangan sama-sama meraung dan sudahnya mengehalkan masalah kau pula; memang serius ass kalau benda tu jadi.

Lagi satu sebab aku suka, terutama mendengar luahan mereka yang aku kenal, adalah ia membiaskan tabii kemanusian peluah itu. Kita semua manusia; masing-masing mempunyai kelemahan sendiri. Namun melalui kelemahan itu jugalah kita dapat berhubung dengan satu sama lain. Dan aku suka melihat orang yang tanpa gusar menceritakan salah laku mereka atau sebagainya sebab dengan cara itulah wasilah akan menjadi lebih akrab. Sesetengah orang benci melepaskan isi hati mereka dan hal ini membuatkan aku bingung. Maksud aku, tolonglah, siapa yang kau nak tipu. Kita semua bermula dari tanah, okey; bukan cahaya. Bila kau terlalu berusaha untuk menunjukkan betapa sihatnya batin kau, ia bukan sahaja memperlihatkan kau sekeras piksel CG; malah bosan nak mampus. Gemulah Bill Hicks pernah berjenaka: Kau tahu siapa yang tidak mengadu domba tentang pergolakan jiwa mereka kepada teman-teman? Pembunuh bersiri.

Sejak menjadi vagabond, aku lebih banyak meluangkan masa aku mendengar rintihan orang; dan serius shit, tempat aku lepak sekarang agak penuh dengan golongan yang amat bersedia membabadkan kesusahan mereka tanpa mengharapkan belas kasihan. Dan kebanyakannya menyudahkan kisah mereka dengan ucapan terima kasih kerana kesudian aku mendengar. Memang kelakar apabila memikirkan aku tidak berbuat apa-apa pun di sepanjang konversasi; hanya berteleku sepi tanpa memberi sebarang reaksi lisan.

Hatta, aku tidak faham kenapa orang begitu negatif terhadap hal ini. Lebih aku tidak faham jenis orang yang perlu menyatakan semacam solusi setiap kali diceritakan masalah, atau yang lebih teruk, memperlekehkan ia langsung. Ini tidak akan membantu, folks. Peluah berkenaan membogelkan rohaninya di hadapan kau, dan kau membalas dengan mencabar egonya lagi. Nah, aku bukanlah berhati mulia sangat namun untuk melakukan benda ini kau tidak perlu mempunyai hati seharum skarum pun. Aneh rasanya apabila membayangkan terdapat ramai orang di luar sana tidak nampak bahawa dengan menjadi pendengar yang baik kita dapat menabur benih kebajikan di dalam hidup orang (seraya menimba pengalaman untuk diri sendiri) tanpa mengeluarkan sesen atau sekudrat tenaga pun (okey, barang kali sedikit masa).

Adakah ini berpunca dari ideologi berhaluan kanan yang sudah tertanam di dalam diri kita sejak dahulu; bahawa segala kesukaran di dalam benak ini boleh disisihkan tanpa perlu dibawa bicara dengan sesiapa; bahawa seantero kesulitan boleh ditolak tepi dengan semangat kental semata-mata? Kebenarannya, kita semua tidak segagah itu; ada sebab kenapa manusia hidup bermasyarakat dan bukannya di dalam kepompong sendiri. Ya, aku pun jauh dari sempurna, namun inilah ketahkikannya, kawan-kawan: Jadilah seorang pendengar; biarpun ia senaif perbualan yang aku alami dengan seorang gadis di YM tadi.

blond_times2:
Aku ada masalah la, Zim. Aku ingat nak break dengan boyfriend akulah.
nazimisawesome83:
Serius?
Apasal?
blond_times2:
Takdelah, dia selalu sangat nak betulkan aku – apa je yang aku cakap. Malam tadi aku jumpa dia; aku kata, “Adi, we need to talk.” Kau tau apa yang dia balas?
nazimisawesome83:
Apa?
blond_times2:
Honey, my name's Syamsul.See?!?? Apa yang aku cakap semuanya salah!

Well
, mungkin janganlah senaif itu.

Read more...

Thursday, August 13, 2009

Omigod, Omigod, That Is So Tweet

Aku akhirnya membuat keputusan untuk mempunyai Twitter sendiri. Asalnya, aku membuka akaun ini untuk mengambil avatar seorang pengguna yang tersangatlah best*. Pun begitu setelah bertakat-takat, aku terus menggunakannya secara aktif.

Kau orang tahu tak bagaimana hendak berjalan? Bermula dengan selangkah kaki dan diikuti dengan satu lagi, dan ulangi benda itu sampailah kau tiba di suatu destinasi? Well, penggunaan Twitter jauh lagi senang dari itu. Kau hanya pos apa yang kau sedang buat; biarpun mengenai hal berjalan itu sendiri. Aku sudah melayannya sejak Khamis lepas, dan memang ketagih amat. Aku tidak faham kenapa benda ini tidak digunakan lebih ramai orang. Setiap kali aku makan – aku tweet hidangan yang aku ambil. Setiap kali aku buang air besar – aku tweet betapa sihatnya najis aku. Setiap kali aku maki orang – aku tweet dulu apa yang aku nak maki dia dan kemudian maki dia betul-betul depan muka.

Aku juga sedang mendalami fungsi Twitter sekarang. Twitpic tampak menarik, tapi aku belum menggunakannya. Setakat ini aku hanya, bak kata Faizal Mukhtar, bereksperimen dengan rekaan latar belakang. Aku bermain dengan banyak poster filem, tapi bukanlah stok yang kau boleh dapat dari IMP Awards cuma. Avatar An American Werewolf in London aku pula telah tersimpan sekian lama, tapi hanya kini baru aku dapat menikmati fadilatnya.

Bagi aku Twitter adalah salah satu invensi internet terbaik dalam sejarah sejak halaman Persatuan Penggemar Karipap Nasional di Facebook. Aku menyesal tidak menggunakannya sejak dahulu. Aku berjanji akan catat atau bubuh apa sahaja yang terlintas di minda. Tapi sementara itu, biar aku pergi tulis dulu (di Twitter) tentang entri yang aku tulis ini. Sekian.

www.twitter.com/nazim_masnawi (Serius, aku langsung tidak mencarut di sini. Serius, I'm not fucking with you.)

*Gambar pasangan adik-beradik Winchester tengah berdiri macam pasangan gay. Gila babi ngam.

Read more...

Wednesday, August 12, 2009

Mehmoratium

Sebentar tadi aku duduk berbual dengan seorang pak cik dan cucu lelakinya yang berusia lewat belasan. Seperti biasa apabila perbualan kami kian progressive rock rancaknya, topik tentang politik nusantara pun terbuka. Ia menarik namun tiada apa yang mengejutkan. Tambahan lagi pak cik tersebut berhaluan kiri seperti aku; maka diskusi kami amatlah senada dan selamat.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sebaliknya apabila kami bercerita tentang “pembunuhan” Teoh Beng Hock di ibu pejabat SPRM. Yang menariknya di sini, pak cik itu menyebut istilah “bunuh” tanpa teragak-agak; sekali gus membuatkan aku dan cucunya mengangkat kening hampir serentak. Aku berhujah bahawa perkara tersebut masih belum diputuskan, namun pak cik itu yakin ia sudah diputuskan; cuma soal pembunuhnya saja yang belum (mahkamah juga seolah-olah mengetahui). Mendengar penjelasan itu, cucu pak cik tersebut lalu mengutarakan satu perkataan dan satu perkataan sahaja untuk mengikhtisarkan pendapatnya,

Meh.”

Aku terpegun setagal, macam tidak percaya aku boleh mendengar perkataan haram itu di alam realiti. Lagi bangsat, dia pun tidak teragak-agak – seakan telah mengaplikasikan perkataan itu sejak membesar di apam mak dia lagi; seakan ia adalah perkataan sahih dan bukan setakat mana punya terma internet yang lahir untuk membunuh sebarang percambahan idea atau pendapat. Nah, aku pun tidak patut mendambakan apa sangat daripada hipster motherfucker macam dia, lagi-lagi fesyen shufflenya jelas membuktikan otaknya tidak berfungsi untuk menyebut lebih dari satu dua perkataan pada satu-satu masa.

Tapi fuck, aku tetap tidak suka.

Meh” dari dulu, sekarang dan selamanya merupakan satu perkataan yang tidak sesuai diguna di mana-mana – internet ataupun dunia sebenar. Ia memang bangang, biadap dan terus terang malas; seperti menyebut “whatever” atau “tahu takper” untuk membidas ayat lawan*.

Perkataan tu sucks, terutama apabila aku dapat tahu ia berasal dari siri TV yang sudah tidak best langsung sejak 10 tahun lepas, The Simpsons. Pergi mampus sama “Meh.” Kau orang semua lebih bagus dari itu. Dan kalau tak bagus pun, cuba-cubalah berlakon.

Bukan susah pun hendak kata “Aku tak ada apa yang nak ditambah” selain dari “Meh.” Malah, pengganti yang lebih elok untuk perkataan itu adalah kau tak payah sebut apa-apa pun. Cara apa lagi yang lebih sesuai untuk menunjukkan betapa tidak pedulinya kau dengan tidak berbuat apa-apa?

Tapi melontar ia secara terbuka di tempat awam memang tidak mendatangkan sebarang manfaat. Serius, kalau gegendang ni berkas lagi perkataan itu di mana-mana, meh sini aku Tong Po sekor-sekor.

*Satu lagi perkataan celaka di alam siber, “Huhuhuhu.” What the fuck is that? Nak ketawa ke tak nak ketawa? Decide, motherfucker!

Read more...

Wednesday, August 5, 2009

Babad tentang Babah

Aku tak tahulah jika ada orang di luar sana yang lebih likable daripada babah. Kami empat beradik selalu kagum mendengar cerita-cerita atau menyaksikan sendiri bagaimana dia berkomunikasi dengan orang sekelilingnya; tidak kira usia, bangsa, agama atau latar belakang. Itu merupakan salah satu bakat yang diperolehinya, tapi kemampuannya untuk melayani seseorang itu, biarpun individu paling asing, dengan penuh simpati, empati dan saksama (bukan sekadar untuk menjual barang) adalah sesuatu yang tiada tolok bandingan.

Perkara ini bukan setakat diperakui sendiri oleh kami adik-beradik. Maksud aku, nah, anak normal mana yang tidak mendakwa ayah merekalah the greatest sonuvabitch that ever lived. Aku akui, ketika kecil, aku merasakan babah biasa saja; tiada beza dengan ayah lain kerana aku menyangkakan semua ayah begitu. Namun apresiasi ini muncul apabila aku, tatkala kian dewasa, mendengar rentetan sanjungan orang lain terhadapnya. Tanyalah sepupu-sepapat aku (biar sebelah ibu atau ayah) tentang pak cik terbaik; tanyalah para duainya (juga dari mana-mana pihak) tentang ipar paling dihormati, aku pasti semua jari akan menuding kepadanya. Di kalangan kenalan juga begitu. Antara pengalaman yang aku tidak boleh lupakan adalah semasa mula-mula bertemu Sinaganga (yeah, that one) beberapa tahun lalu. Mendengar kupasannya tentang kegempakan babah yang pernah menjadi bosnya suatu ketika dahulu, aku tiada lain hanya mampu merasa rendah diri dengan rakan taulan yang duduk semeja, dan kepada babah atas keupayaannya menyentuh orang bukan setakat seketika, malah untuk satu tempoh yang lama.

Babah, atau Hasan@Hassan bin Abdul Majid, adalah seorang yang independen. Sewaktu kecil dia dipisahkan daripada kembarnya lalu tinggal dengan ibu bapa angkat di ceruk Kuala Kangsar. Dia hanya kembali kepada keluarganya di Kuala Lumpur pada usia awal remaja, namun kemesraan di antara mereka tidak pernah cepu. Dengan mempunyai seorang ayah yang bipolar, babah lebih banyak menghabiskan hidupnya sesudah itu sendiri* sehinggalah dia berumah tangga pada tahun 1973. Anehnya, biarpun terasing daripada adik-beradik, babah tidak pernah begitu terhadap kami sekeluarga; malah dia sentiasa mendakap kami seerat mungkin. Pernah sekali aku bertanya, adakah dia begitu kerana bertekad tidak mahu sejarah hidupnya berbolak kepada anak-anak pula? Katanya tidak juga, dia tidak pernah meletakkan sebarang azam pada apa-apa khususnya hal tersebut. Secara pragmatiknya, dia hanya melakukan yang terbaik untuk semua. “Rasanya babah memang macam tu kot?” jelasnya.

Keluarga kami boleh dikatakan sederhana mewah. Namun semua ini tidak akan berlaku jika tidak kerana usaha babah sendiri. Di siang hari babah merupakan pegawai seni reka di Dewan Bahasa dan Pustaka, di sebelah malam dia adalah artis bebas untuk apa sahaja kerja melukis di luar sana – ilustrasi untuk majalah grafik Fantasi, pereka kulit buku-buku ilmiah terbitan universiti tempatan; hei, sebarang buku subversif bawah tanah pun. Aku masih ingat kami adik-beradik sering berkumpul di studionya untuk berbual dan berbual dan melihatnya bekerja hingga larut malam. Dalam retrospektif, aku agak kagum babah boleh melayan kerenah kami adik-beradik seraya melakukan tugasnya; aku tatkala menulis entri ini pun, jika boleh, tidak mahu melihat kelibat sesiapa.

Setiap adik-beradik aku mempunyai pengalaman tersendiri dibesarkan oleh babah. Tidak tahulah jika aku adalah anak yang paling disayangi, namun aku percaya aku di antara yang terapat. Sebagai satu-satunya ahli keluarga yang lahir pada era 80-an, aku ketinggalan satu generasi dengan abang-abang serta kakak aku. Maka sedang aku membesar dan dibuai manja oleh babah, adik-beradik aku sudah jauh memasuki alam punk rock. Aku tidak perlu berkongsi perhatian dengan sesiapa, dan boleh dikatakan aku tidak pernah berenggang dengan babah. Mungkin kerana itulah aku tidak takut hendak berbicara dengannya tentang isu-isu pentan atau serius. Ketika di tingkatan dua, aku ada bertanya kepada babah kalau-kalau aku boleh hisap rokok. “Boleh,” jawabnya tenang sebelum menyambung, “Tapi kau tak dapat apa-apalah.”

Ego aku langsung membengkak dan sepuntung rokok pun aku tidak pernah sentuh hingga kini. See, babah tahu audiensnya apabila bercakap. Dia tahu jawapan tersebut akan memberi tamparan kepada aku, tapi mungkin tidak akan berjaya untuk orang lain. Lagi hebat, dia melakukannya dengan penuh bergaya. Kata-kata yang keluar dari mulutnya tidak penah berbentuk didaktik atau syarahan. Walaupun bercakap dengan cucu berusia lima tahun, dia melayannya seperti manusia sahih yang didatang dengan isi, tulang dan otak; langsung tidak melihatnya sebagai subjek yang harus dibuli atau dikekang. Ya, sudah tentu babah ada sisi sinikalnya sendiri, namun sikap itu tidak pernah diguna sebagai benteng untuk megah diri. Ada pendapat mengatakan jika mahu dilihat cool, jadilah diri sendiri. Selama aku mengenalinya 26 tahun, aku kira itulah pedoman babah seumur hidup.

Pada tanggal 1 Mei 2009, babah dimasukkan ke hospital akibat mengalami keracunan darah berpunca dari gejala prostatnya – bermula dari buah pinggang, ia naik hingga ke hati. Tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal, babah serta-merta tidak sedarkan diri. Kami adik-beradik, bak kata orang putih, hit all time low***. Selama berhari-hari aku berasa separa sedar; terdampar di antara igauan dan realiti. Namun sedikit harapan tersemat apabila setiap hari teman-teman surau, kawan-kawan lama sepejabat, sahabat handai sekolah, rakan pelukis dan saudara jauh dekat tidak putus-putus datang melawat. Malah kadang kala kami adik-beradik tidak menang tangan melayan. Ini bagi aku adalah bukti seorang lelaki yang budiman. Setiap yang datang mempunyai anekdot masing-masing tentang babah untuk dikongsi yang selalunya disudahi dengan linangan air mati tidak kira lelaki perempuan. Aku percaya dengan itu, segala panjat doa juga tidak pernah lekang. Miraculously, bak kata doktor (bukan mat salleh), babah terjaga dari komanya pada hari kesembilan, dan kembali sihat perlahan-lahan sehinggalah dibenarkan keluar wad sebulan kemudian. Syukur aku tidak pernah ternoktah hingga hari ini.

Apa yang paling menarik tentang babah bagi aku ialah dia bukan Superman (seperti kebanyakan orang sering mengecap ayah mereka). Babah adalah seorang yang banyak ralatnya, yang mempunyai sisi gelapnya sendiri, yang ada jatuh bangunnya; namun itulah yang menjadikannya manusia, dan itulah yang membuatkan aku amat mudah berhubung dengannya. Golnya hanya satu: Untuk buat yang terbaik dengan apa yang ada despite his flaws. Aku lihat babah sebagai doktomi asas manusia – apa yang menjadikan seseorang itu orang. Sayangnya, disebabkan hal tertentu yang tidak dapat dielakkan, aku perlu berjauhan dengan babah sekarang. Aku akan kembali suatu hari nanti, menjadi anak lebih baik dari semalam bagi membalas jasanya. Lagipun, seperti babah pernah kata,

“Kalau jalan yang kita pilih dalam hidup ni tak jalan, apa susah, we start again.”

Dan aku sedang dalam proses melakukan exactly that. Selamat hari jadi yang ke-63, bak. Semoga panjang umur dan sihat walafiat hendaknya. Amin.

*Hidupnya dalam fasa ini memang penuh pertualangan. Antara kisah yang paling menarik adalah pengalamannya menetap di kawasan Cina ketika 13 Mei 1969, disenarai hitam dari memasuki Kampung Baru selama beberapa tahun, kisah cinta pertamanya yang tidak kesampaian, dan sudah tentu, misi menculik anak seorang kawan (yang hak milik penjagaannya dengan tidak adil diberi kepada si bekas isteri) yang boleh bikin Danny Ocean cemburu sampai terkeluar tulang rangka.

**Oh, babah jugalah yang banyak mengasah minat aku terhadap filem. Terima kasih, bak, sebab tidak hanya menyumbat otak aku dengan kartun (tapi dengan filem seram ganas dan berat-berat sekali) semasa kecil dahulu.

***Mamah steady; setitis air mata pun tidak pernah keluar. Aku sebenarnya hendak menceritakan serba sedikit tentang hubungan unik mamah babah, tapi aku fikir that alone deserves its own entry.

Read more...

Tuesday, August 4, 2009

Lagu Untukmu Vagabonds

Bateri komputer riba aku semakin lemah. Dulu dengan bangganya dia boleh kekal tiga jam, tapi sekarang nak cecah 45 minit pun perlukan tiga tahun punya kerja berat. Mujur lokasi tidur kami ada satu tempat sumbat plag, kurang-kurang aku boleh cas tenaganya pada waktu malam misal kata esok aku terdampar di tempat yang ada wi-fi tapi tiada sumber elektrik.

Cuma masalahnya dengan hal ini, geng vagabond aku pula suka meladeni lagu sambil lelap. Kononnya masing-masing ada niktofobia dan insomnia (ya, sampah masyarakat ini memang sebut istilah rasmi berkenaan). Hatta, aku senaraikan trek yang boleh dikira intrig – ia adalah kompilasi lagu-lagu rock yang merentasi zaman dan benua. Dengan sedang asyik menyelak Love Is a Mix Tape karya Rob Sheffield sekarang, tiba-tiba teringat pula dengan segala mix CD yang pernah dihasilkan dulu, khususnya yang aku pernah beri kepada seorang gadis bernama Ida*.

Jadi inilah dia playlist yang kami vagabond dengar setiap malam sampai beranak cacing di telinga:

Dirtbag
– Brad Sucks
Dry the Rain
– Beta Band
Friend of the Devil
– Grateful Dead
Funk the Hole
– Sore
Gravity
– Luna Sea
Hey
– The Pixies
I'm Shipping Up to Boston
– Dropkick Murphy
(I Got) Johnny in My Head
– Dead Teenage Star
Innuendo
– Queen
The Killing Moon
– Echo and the Bunnymen
Limelight
– Rush
Missing You
– Glay
Mr. Roboto
– Styx
Old Brown Shoes
– The Beatles
Out of the Races and on to the Tracks
– Rapture
Restoe Boemi
– Dewa 19
Six Different Ways
– The Cure
Sobakasu
– Judy & Mary
This Mess We're In
– PJ Harvey & Radiohead
1.1 Million Woodcutter
– Zeke & Zopo

Kompilasi yang tidaklah kasi kiamat dunia**. Jika aku hendak menghasilkan mix CD, rasanya aku tidak akan susun mengikut abjad seperti ini; di sini aku hanya mengikut resmi iTunes yang drakonian. Mistiknya, aku tak tahu bagaimana kayu-kayan tu boleh tidur mendengar muzik bingit mother hell begini.

*Biarpun aku tidak pasti dia masih gadis lagi atau tidak waktu itu.
**Tapi kalau Utarid tu memang tinggal serdak bangkit sajalah.

Read more...

Monday, August 3, 2009

Tidak Kenes

Tidak kenes mengganggu di jalan,
Tidak kenes meringkuk di penjara,
Pilihan masih ada untuk rundingan,
Namun akhirnya selalu macam celaka.
Tidak kenes, tidak kenes,
Kau telah beritahu jangan,
Kau telah memberi amaran,
Namun jika itu harga kebebasan,
Kami tolak itu cadangan.

Tidak kenes mengibar panji
Atau berarak untuk melawan,
Atau berteriak tentang hak asasi,
Di sana sini tanpa sempadan.
Tidak kenes, tidak kenes,
Kau panggil polis datang,
Kau ajak kami berperang,
Namun jika kebebasan hendak dibuang,
Memang langsung kami berpantang.

Kami telah cuba bertukar kata,
Dua tiga datang berlembut bicara,
Kau pandang kami sebelah mata,
Lama-kelamaan terus jadi buta.
Kini cara kami dikata tidak kenes,
Apabila berdepan dengan kau di takhta,
Biarlah kami dituduh tidak manis,
Yang penting kebebasan masih dipinta.

Bagaimana dengan mereka di dalam sana?
Yang terus terdiam sehingga tiada berita?
Pabila kau kata kami tidak baik,
Sudahkah kau fikir baik-baik,
Kau lagilah serupa macam taik.
Kini kau hebohkan kami tidak kenes,
Kau kata kami perosak aman dan bisnes,
Demi Tuhan kami tidak akan mati,
Selagi kebebasan belum dikembali.

Read more...

Sunday, August 2, 2009

Kong-munikasi

Sepanjang menjadi vagabond hampir sebulan ini, aku jarang bercakap dengan orang; paling-paling kalau ditanya pun cuma sepatah dua kata yang keluar (kecuali bila tiba bab minta sedekah, negosiasi dengan tuan restoran untuk beri makan percuma). Lama kelamaan aku perasan, skil lisan aku kian merosot. Kelancaran berbahasa Inggeris lagilah cicir tiga kampung. Lihat sajalah seperti siang tadi. Sedang aku asyik melilau memerhati setiap inci tanah kalau-kalau ada wang tercicir, tegur seorang Russell Crowe bertanyakan aku arah jalan ke 7-Eleven terdekat. Tanpa menghela secebis nafas, aku lantas menjawab,

You go straight to the end of this road.” Slanga aku masih boleh tahan, namun... “Then you go right, and after a few blocks, you go wrong.”

Bak kata orang putih, things can't get any fuckerer than that.

Read more...

Saturday, August 1, 2009

Pengganas Mimpi

Demi Tuhan, aku sudah temui tempat yang agak strategik untuk bermalam sekarang. It isn't much, bak kata orang putih, tapi sekurang-kurangnya apabila tidur aku tidak akan dihalau oleh pihak berkuasa yang datang mengganggu, atau embun yang datang tidak menentu; dan ini sekali gus menggenapkan lelap aku lima enam jam tanpa terjaga-jaga*. Walaupun dikongsi bersama empat individu lain, aku tak kisah mengenangkan tempat ini cukup luas dan kebanyakan daripada mereka pun merupakan rakan bualan sebelum tidur yang baik; biarpun aku masih tidak faham aksen masing-masing (Jawa, Jawa, Kelantan, Kelantan-Thai). Cuma malangnya, bersama port baru ini, tercipta juga satu tabiat baru buat aku – mengigau.

Aku percaya dalam setiap keluarga mesti ada seorang ahli yang kaki mengigau. Dalam keluarga aku, sekurang-kurangnya dahulu, kakak akulah. Sewaktu kecil, aku yakin sangat kakak aku ada benda ikut sebab dia akan menjerit semasa tidur dengan sekonyong-konyongnya. Dia juga akan berjalan terkadang waktu; setelah menonton Fenomena dengan keluarga sewaktu aku berusia 7 tahun begitu, kakak aku melilau ke bilik air pada tengah malam lalu mandi (dengan menggunakan gayung dan penuh slo-mo) dalam keadaan masih berbaju. Dia juga pernah cuba keluar dari rumah lebih dari sekali; mangga yang terkunci selalu menyedarkannya dari lena.

Masalahnya dengan mengigau ini, individu yang mengalaminya ingat tak ingat apa yang telah terjadi esoknya. Kadang kala, kakak aku akan terlihat beruang teddynya sudah jauh tercampak ke hujung bilik dan tersedar yang dia ada “bergasak” dengan Cthulhu atau raksasa Lovecraft yang lain malam tadi. Tapi dia hanya benar-benar tahu segala benda merepek yang berlaku ketika dia tidur apabila aku memberitahunya. Biasanya hal ini akan dijadikan bahan lawak ringan sahaja; kini apabila teringatkan siri peristiwa berkenaan, aku gerenti akan buka cerita pada malam dia terjaga dan percaya aku adalah Buffalo Bill dari Silence of the Lambs, dan aku hendak menembaknya di dalam bilik gelap seperti klimaks filem tersebut.

Tapi tabiat itu berhenti begitu saja tatkala dia memasuki alam remaja. Dan sekarang ini, aku rasa “saka” tersebut sudah turun pada aku. Yang pertama terjadi sewaktu aku bermalam di KL Sentral sekitar dua minggu lepas. Selepas pulang dari Pulau Pinang dengan sehelai sepinggang, aku mengambil keputusan untuk bermalam di sana selama beberapa hari. Aku tidur di suatu sudut Secret Recipe bersama seekor kucing yang aku namakan Nola**. Aku hampir-hampir bunuh minah tu apabila aku terjaga lantas memijak-mijak kusyen yang dibaringi; Nola terloncat ke tepi dan memerhatikan aku, terkebil-kebil.

See
, aku cukup yakin yang seseorang telah simbah minyak tanah ke segenap restoran itu dan tunggu masa nak hidupkan mancis lalu membakarnya. Aku memang konfiden dengan hakikat ini buat seketika sebelum aku mula sedar dan dengan penuh Fonzy kembali tidur. Nola, aku sudah tidak tahu hilang entah ke mana.

Kejadian itu memang pelik sebab aku boleh mengingati segalanya dengan sendiri, jadi pada mulanya aku tidak pasti sama ada aku mengigau atau tidak. Apatah lagi ia tidak berlaku lagi selepas itu, sehinggalah empat malam sudah. Lainnya, aku tidak mempunyai sebarang memori tentang igauan tersebut. Begitu juga dengan malam kelmarin. Begitu juga dengan malam sudah. Begitu juga dengan malam tadi. Yang pasti (seperti yang diceritakan oleh empat rakan aku itu), aku kejutkan mereka dalam keadaan cuak, memberi amaran bahawa suatu malapetaka akan terjadi. Lazimnya mereka cuma rasa sebal dan arah aku kembali tidur. Selepas merengus dan memberitahu “kalau korang nak kena gilis traktor/kena makan dek kerengga mutan/kena tolak dari bangunan oleh pegawai SPRM itu sukati koranglah!” aku kembali lelap. Tapi malam tadi memang terbaik.

“Bangun, bangun!” Aku goncang badan setiap orang.

“Gapo dio?” tanya Kelantan.

“Tu, tu! Tengah datang sini, guling-guling tu!” Aku menuding ke arah sebuah gerai yang dibungkus kanvas biru tidak sampai lima meter dari situ, cemas.

“Tak dok gapo pung?” sela Kelantan-Thai.

“Tu, tu!” aku membalas, “Takkan korang tak nampak dunia tengah kiamat?”

Seperti yang diceritakan semula kepada aku, meskipun aku berterusan mengadu domba bahawa dunia sedang kiamat selama beberapa minit, lama-kelamaan aku mula sedar betapa bahlulnya semua ini lalu kembali rebah ke lantai.

Aku akan cuba menyampaikan perkembangan terkini mengenai hal tidur-terjaga aku ini tatkala aku berterusan mengigau, mengganas seraya membunuh hening malam.

*Tempat ini agak terbuka, jadi adalah lebih baik memulakan tidur sekitar jam 12 dan bangkit sebelum kawasan ini hidup balik dalam enam pagi.

**Sempena watak Scarlett Johansson dalam Match Point to show how doomed our relationship is; aku ingat cara hidup Paleolitik aku yang akan menghalang, rupanya something else entirely. Damn!

Read more...