Monday, November 29, 2010

Trilogi Trailer #3: Terrorism Oddity


Source Code mempunyai skrip terbaik aku pernah baca dalam sejarah. Ya, dalam sejarah. Tapi yang aku pernah baca sajalah, dan aku baca tak sampai lima buah skrip seumur hidup. Kau boleh muat turun di sini untuk tahu sama ada aku betul seperti selalu atau salah buat pertama kali. Ia berkisar tentang seorang askar dipaksa menyertai satu program yang membolehkannya menikmati semula pengeboman sebuah kereta api berkali-kali - dengan tempoh lapan minit sebelum itu - untuk tahu siapa dalangnya. Walaupun plotnya bunyi macam banyak ralat - takkan pengebomnya ada sekali dalam kereta api itu? - percayalah cakap aku, ia dikraf dengan cukup tekun dan teliti yang gerenti akan membuatkan Hitchcock pun tersenyum lebar kalau membacanya. Ya, ia mempunyai premis yang hebat; ya, ia memang penuh gimik; tapi sehebat maha karya The Master of Suspense, Source Code berkembang menjadi lebih dari itu pada akhirnya - penuh kritikan tepat ke batang hidung tentang kekalutan autoriti di Penjara Abu Gharib, penderaan di Guantanamo Bay, dan sudah tentu, pentadbiran fasis Bush secara menyeluruh.

Filem thriller sai-fai ni akan keluar awal tahun depan tapi trailernya sudah pun terpacul kini. Aku kira setiap pelakon agak kena. Aku bukanlah peminat gedang Jake Gyllenhaal tapi dia ada kualiti everyman yang sajak dengan protagonis ini (cuma susah sikit nak percaya dia seorang askar yang berpangkat kapten). Michelle Monaghan dan Jeffrey Wright semuanya okey, tapi Vera Farmiga ada sedikit kelainan - wataknya adalah seorang lelaki dalam skrip asal. Dan dia juga tidak bersikap terlalu asshole dan pushy - asal dia adalah jenis tentera berpangkat besar pada zaman pasca 9/11 yang sanggup buat apa saja demi kejayaan misi, namun kecut nak menempatkan diri sendiri dalam bahaya - which is weird, aku ingat mereka menjadikannya perempuan untuk tambah volume pada amp dan apamnya lagi.

Yang paling menarik minat aku adalah pengarahnya, Duncan Jones yang sebelum ini mengarahkan Moon, antara filem kegemaran aku tahun lepas. Pada mulanya dia hendak membuat susulan kepada filem tersebut berjudul Mute - bukanlah sekuel terus tapi lebih ke arah situasi dalam universe yang sama - namun kerana masalah ekonomi rumah tangga yang tak dapat dielakkan, dia terpaksa menghasilkan Source Code dulu. Still, aku rasa dia bukanlah setakat pengarah makan gaji. Aku rasa anak kepada David Bowie ni sama berbakat macam ayahnya (kurang-kurang Bowie pada zaman pra 80-an) dan dia tetap akan bagi kejutan kepada orang yang dah pun baca skripnya; biarpun, ehem, trailernya kelihatan biasa-biasa sahaja - namun cop mohornya tentang identiti masih tak dapat lari.

Ada orang canang yang Source Code bakal menjadi Memento baru dari segi kesannya terhadap kultur sinema. Aku tidak rasa begitu. Ya, aku suka skripnya, tapi kita kena faham sejarahnya juga. Memento adalah sebuah filem indie yang dihasilkan hampir tanpa bajet, jadi apabila ia keluar dengan naratif berambisi begitu, orang terkejut beruk maka pujian diberi tanpa berbelah bagi mengenangkan asalinya. Source Code, sebaliknya, dihasilkan oleh studio besar yang mengeluarkan siri jahanam Twilight dan dibintangi oleh Prince of Persia. Bagaimana bagus pun hasilnya, aku rasa ia akan menerima backlash daripada para fanboy yang menyukai sesebuah filem bukan kerana kualiti tapi populariti. Lagi kurang dikenali lagi didakapnya. Aku cuma berharap kau yang membaca entri ni tidak termasuk dalam golongan tersebut. Lihat filem dari sudut filem itu sendiri, dan bukan bagaimana ia diangkat.

Sementara itu, kau boleh layan Twitter Duncan Jones di sini. Dia adalah Twitterer yang agak insightful tentang industri dan bidangnya, jauh lagi bagus dari segala macam bintang pop yang kau ikut tu.

0 comments: