Friday, August 14, 2015

Syahadat (1992) - Masih Boleh Hadap

Filem kita zaman sekarang ni dah tak macam dulu. Namun hakikatnya, naskhah lama ni tak macam mana-mana filem dulu pun. Aku tak pasti Syahadat boleh diletak dalam kategori apa. Yang jelas, ia mengembalikan nostalgia era filem yang disuntik dengan elemen ghaib dan dendam namun masih boleh ditutur dengan penuh emosi dan komedik. Segalanya relaks-relaks dan tak lebih-lebih, namun kekal baik. Amat baik. Tapi agak sukar untuk mengenal pasti tang mana baiknya.

Sebagai permulaan, premisnya agak menarik: Pada sekitar awal 1900 terdapat sebuah perkampungan terpencil yang dikuasai oleh Tok Penghulu (Muhamad Abdullah) dan anaknya Farouk (Eman Manan). Saban hari, kalau tak dok usya Saleha (Erma Fatima) dan ibunya (Hamidah Wahab), mereka akan tindas orang kampung dari segi ekonomi mahupun sosial. Beban semakin terasa sehinggalah Ahmad Solihin (Yusof Wahab) pulang dari perantauan setelah sekian lama entah ke mana. Dalam usaha dia menegakkan keadilan, Freddie Krueger versi purbawara (Shukery Hashim) muncul di celah sabur-limbur itu.

Di situ kita boleh lihat segala macam genre - dari melodrama sampailah ke seram - yang cuba dimasak dalam satu periuk. Aku kagum melihat usaha murni ini, lagi-lagi pada awal 90-an. Dan kadang kala ia agak berjaya. Adegan-adegan diberi ruang untuk bernafas meskipun segenap cerita diselubungi misteri. Dunia kampung itu juga agak meyakinkan. Kita kenal watak-watak lain (yang sekadar mengikut arketip) dan geografinya (biarpun skop tak sebesar mana). Semua ada fungsi - untuk membawa kita ke pengakhiran yang... kreatif lagi kemas?

Well, tak juga. Aku kira ini salah satu slek utama filem ini - banyak sangat elemen cuba diserap sampai habis hilang fokus pada act ketiga. Natijahnya, ia buat kita rasa seolah-olah tengah menonton 50 buah filem sekali gus. Dan panel skrip yang terdiri dari jumlah yang sama - 50 orang* - jelas tidak membantu. Plotnya penuh lubang (lagi-lagi berkaitan hal title-character kita) yang pengguna jalan raya di Malaysia gerenti boleh perasan. Bagaimanapun, tak seperti kementerian berkaitan, setiap lubang itu diturap atau sekurang-kurang diambil kira oleh para pengkaryanya**.

Turut membantu menutup ralat itu adalah para pelakon yang kebanyakannya dipilih against type. Yusof Wahab yang sebelum itu banyak pegang watak sampingan muncul sebagai wira kita dengan penuh karisma dan intensiti. Kita percaya dia cukup bijak, kita percaya dia penuh adab, kita percaya dia power nak mampus. Sayang sekali Syahadat muncul tatkala penyanyi pop mula mengambil alih peranan sebagai bintang filem. Kalau diberi peluang lagi, aku yakin Yusof boleh meletakkan kesedaran masyarakat terhadap Rosyam Nor di celah giginya sahaja.

Eman Manan juga wajar ditabik. Meskipun pada zaman kemuncaknya, dia pegang watak seteru yang sangat poser tanpa sebarang self-preservation***. Tambahan lagi, segala lakonan teatrik Eman selama ini memberi satu lagi lapisan lain dan bukan setakat nak meratah skrin sampai tinggal tulang. Erma Fatima juga membawa peranan wanita Melayu terakhir (pun intended) yang jarang-jarang kita tengok dari pelakon tak cun mana ni. Jika terdapat lakonan yang slek, ia adalah Muhamad Abdullah. Dia tiada masalah mengimbangi adegan-adegan ringan (heck, dia orang lama Pi Mai Pi Mai Tang Tu kot), namun apabila tiba masa untuk menunjukkan ancaman, Muhamad nyata gagal. Dia ada kualiti aristokrat (dengan songkok dan kotnya) yang membuatkan kita bencinya dari minit pertama, namun tak cukup untuk membuatkan kita risau akan keselamatan hero-hero kita pada sebarang waktu. Lagi parah, segala titik tolak kisah ini bermula dari kedahsyatannya (yang tak pernah terasa).

Syahadat masih boleh dihadap. Kurang-kurang sekali sekiranya kau pernah tonton waktu zaman budak-budak dulu. Ia tidak mempunyai, bak kata orang putih, reply value yang barang kali menjadi punca ia kian hilang dari cepu kepala khalayak. Apa-apa hal, ia masih lagi sebuah karya cacamarba gaya Melayu yang diukir dengan penuh semangat - sesuatu yang sama sekali tidak boleh diperkata pada kebanyakan filem tempatan zaman sekarang.

*Okey, gurau je. Tapi memang ramailah.

**Biarpun tidak menyakinkan. Terang-terang poin masalah plot kau tidak sama dengan menyelesaikan masalah tu sekali gus, wahai penulis skrip.

**Kecuali bab aksi. Agak keliru juga melihat orang jahat yang lemau sebegitu mampu bersaing secara jasmani dengan protagonis kita yang kononnya ilmu persilatan penuh di dada.

0 comments: