Thursday, September 10, 2015

Polis EVO (2015) - Sebuah Filem Aksi Generik Hollywood yang Baik

Filem aksi adalah wacana sinema yang paling true. Ada sebab filem dilihat sebagai medium hiburan semata-mata, dan genre aksilah yang paling lantang menyampaikan maknanya. Aksi datang dalam pelbagai bentuk - slapstik, tarian, malah kepicikan gerak-gerik itu sendiri; kekakuannya - tapi tidak ada filem Malaysia tahun ini yang mengikhtisarkannya kecuali Polis EVO - sebuah filem aksi yang true, yang dikraf dengan penuh seronok dan mengujakan. Ini merupakan salah satu filem aksi terbaik Malaysia, dan tanpa sangsi filem tempatan terbaik tahun ini. Ia ringan dalam penyampaiannya dan tidak pernah bertukar berat - tapi dalam pada itu, bahaya dan tension naratif tidak pernah dikorbankan.

Filem bermula apabila Adli Hashim (lakonan Wan Hanafi Su yang nampak macam baru sober seperti biasa) dibunuh dan mayatnya dibiarkan di tepi jalan. Seorang bekas guru yang kini menjadi pembikin dadah, kematiannya menjadi titik tolak untuk Inspektor Sani (Zizan Razak) menyiasat tentang sebuah sindiket penjualan sejenis syabu yang lebih bahaya dari gred tersedia ada di pasaran. Dalam pada itu, supercop Inspektor Khai (Shaheizy Sam) yang juga sedang menyiasat sindiket syabu yang sama dihantar dari Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Dari minit pertama mereka tidak dapat bekerjasama dengan baik (apa kau harap pun dari filem mismatched buddy cop begini). Bagaimanapun dengan saksi utama mereka Maya (Mimi Ernida) dalam keadaan koma, dan mayat semakin bertindan-tindan muncul, serta keluarga Inspektor Sani sendiri dalam bahaya; mereka nak tak nak terpaksa ketepikan perbedaan dan langsung menyelesaikan hal ini once and for all. While kick ass.

EVO bijak menolak segala hal-hal komplikated (yang lazimnya menyelubungi filem aksi dewasa ini) dan menceritakannya secara terus sahaja - terdapat aktiviti pengedaran dadah yang berleluasa dan kedua-dua hero kita perlu menghentikannya. Aksi-aksinya berputar di sekitar luar kota metropolitan (di Kuala Terengganu secara spesifiknya), tapi skop filem ini terasa lebih besar dari sebarang filem aksi Malaysia yang biasanya mengambil tempat di Ibu Kota. Ia benar-benar sebuah advencer layar perak.

Zizan muncul dengan penampilan yang berbeza di sini; dia masih lawak-lawak tapi penuh manusia. EVO adalah sebuah aksi komedi, tapi jenakanya digarap dengan sangat baik ia sesekali tidak pernah bertukar merepek mahupun bodoh. Inspektor Sani ada kalutnya, namun dia tidak cemerkap. Ia mempunyai ton yang sukar untuk diimbangi (apatah lagi filem Malaysia yang selalunya kelam-kabut dalam bab ini), tapi EVO dapat bermain di tengah-tengah garisan antara filem aksi yang serius dan watak-watak berisi yang penuh komedik.

Barisan bintang selebihnya juga mantap; tiada siapa memberikan mutu lakonan yang mendefinisikan karier, tapi masing-masing menyuntik karakter dengan cukup ramuan huminiti agar kau peduli dengan mereka. Inspektor Khai* mempunyai sejarah lampau. Walaupun kau tak peduli mana - ia terlalu dibuat-buat untuk tersemat dalam emosi - kau tak kisah akan siri adegan di mana filem ini cuba membuat kau peduli. Watak-watak ini seronok diladeni, dan kau syok lepak dengan mereka sementara menunggu adegan aksi yang mendebarkan muncul.

Dan apabila muncul adegan aksi yang mendebarkan, ia benar-benar mendebarkan. Pengarah Ghaz Abu Bakar tidak cuba menyumbat sebarang stail kecuali adegan-adegan aksinya dirakam dan disunting dengan kemas dan padat. Dia tahu dia tidak mempunyai bajet dan kanvas sebesar Hollywood; dalam banyak segi, EVO sangat old school dalam pendekatan set piecenya - ia mementingkan perkembangan, mood, putaran nasib dan natijah - yang dalam filem antarabangsa sendiri pun semakin dilupakan. Ia secara tidak langsung lebih membawa semangat French Connection dari filem-filem Michael Bay yang inkoheren**. Benda ni gempak wei, ujar filem ini, dan kitorang nak korang feel dengan adegan aksinya.

Selain dari itu, terdapat kualiti generik dalam sentuhan Ghaz. Aku bayangkan sumbangan dia paling besar adalah mengimbangi ton dengan penuh sajak. Ia masih sebuah sinema, tapi tidaklah mencapai tahap paling tinggi. Ghaz membawa pendekatan klinikal di sini. Ia tidaklah terlalu standard (bayangkan sebaik-baik filem Hong Kong) tetapi sama sekali tidak kodi (bayangkan sebaik-baik filem kita) - ia cantik di tengah-tengah untuk memenuhi kepuasan penonton dalam dan luar bandar.

Terdapat banyak lohong dalam penceritaan EVO selain elemen plot yang kadang kala digunakan semata-mata untuk membawa kita ke adegan aksi seterusnya. Tapi dek gerak cerita yang amat baik dan amat mengujakan, memang mudah untuk kita memaafkan segala ralat. Mengikut falsafah Hitchock, ini adalah filem peti ais - segala logiknya habis cair-bair sekali kau keluar panggung, tapi yang penting ia dapat menyatukan semua benda sewaktu sedang berlangsung. Filem ini tidak pernah nak merendah-rendahkan (orang Kuala Terengganu atau luar bandar tidak pernah dilihat dungu) dan ia tidak pernah cuba menjadi bodoh (setiap aspek penghasilan diambil dengan penuh serius). Cuma sesekali ia menyeringai ke arah kita dan berkata, "Alah, relakslah. Enjoy je."

Satu sisi yang kita tak boleh enjoy adalah dari sudut temanya yang bercakap tentang... nothing. Agak aneh pada era suara-suara haluan kanan semakin membingit, EVO tidak mengambil kesempatan mempropagandakan pasukan polis. Di sini mereka hanya menjalankan tugas mereka. Itu sahaja. Tiada falasafah machismo, tiada prinsip berpasukan penguat kuasa. Dari satu segi ia bagus, apatah lagi hampir setiap minggu tekak kita dijolok dengan unsur-unsur ini menerusi siri Gerak Khas; dari satu segi ia tidak bagus kerana filem ini juga tidak mengambil pendirian yang kontra. Ia langsung tiada pendirian. Sebagai sebuah filem genre, aku tidak kisah sekiranya haluannya sedikit herot; aku kisah apabila ia tidak mempunyai sebarang kompas pun dari titik awal.

Bagaimanapun, ini masih hal kedua. Filem aksi seharusnya menyeronokkan, bukan nak kena serius dan kompleks. EVO bukan sahaja berjaya dari segi itu, namun cukup baik dari sudut perlaksanaannya. Ia meletakkan standard cukup tinggi bagi kraf filem Malaysia. Pembikinan filem kita sering dicanang dengan masalah bajet dan masa yang sempit, namun jika EVO masih mampu melahirkan emas dari palet sebesar tapak tangan, kenapa yang lain tidak juga?

Ini adalah sebaik-baik filem Malaysia yang selama ini berpaksikan Hollywood. Dan aku boleh membayangkan, dari jauh KRU Studio hanya mampu usya dengan penuh cemburu.

*Meskipun zahirnya amat mengagumkan untuk watak ini, Shaheizy Sam memberi mutu lakonan yang tidak konsisten. Dia langsung tidak memahami ton cerita. Segala penyampaian jenakanya hambar, dan terdapat satu adegan dia berlakon seolah-olah ini Serpico ke apa tah.

**Ironinya, penerbitnya sering mewar-warkan karya Michael Bay sebagai sumber inspirasi filem ini.

Read more...