Tuesday, November 1, 2011

Knightriders (1981) - Tak, Tak, Bukan Siri TV Pasal Kereta Legam Tu

Oleh Nazim Masnawi

Mak aih, filem ni lagi sikit nak jadi best. Tak sampai sejengkal untuk menjadi klasik, tak pun sepotong dua suntingan daripada tuan editor. Idea yang bijak, skrip yang baik, sinematografi yang cantik dan lakonan yang mantap; filem ini sayangnya terlebih panjang dekat setengah jam dan mempunyai tiga empat penamat yang aku kira The Return of the King (2003) pun boleh terlelap kalau tengok.

Knightriders adalah sebuah filem George Romero yang tidak didendang. Martin (1976) mungkin tidak begitu dikenali, tapi semua peminat Romero gerenti boleh ingat filem itu. Filem ini tak keluar dalam format DVD pun. Mungkin pernah dalam VHS, sebab aku cam sangat satu dua momen. Begitupun, secara keseluruhannya filem ini cukup baharu bagi aku*.

Premis saja sudah menggigit - Ed Harris ialah Billy, Raja Renaissance Faire yang bertawaf keliling benua; pahlawan yang menunggang motosikal dan bukannya kuda. Billy mempunyai kod tersendiri, dia buat kerja ini bukan kerana duit tapi gaya hidup. Tom Savini pula ialah Morgan Le Fay, si Black Knight yang tak sabar nak ambil alih takhta dan menggunakan kumpulan berkenaan untuk menjadi bintang. Kedua-dua mereka dikelilingi oleh barisan pelakon yang kau biasa nampak dalam filem-filem Romero. Hampir setiap orang ada ceritanya sendiri yang diselang-seli dengan kisah utama. Agak bercelaru namun Romero cukup tangan untuk memeliharanya; mencipta sekumpulan manusia yang logik dan dunia yang tak rasa seperti dibuat-buat.

Filem ini bukan berlatarbelakang dunia pasca apokalips atau sebagainya. Kebanyakan orang tersalah anggap tentang itu. Bak kata Ed Harris sendiri di sebuah wawancara, tiada siapa pun tahu genrenya yang sebenar. Ia penuh dengan adegan aksi ala medieval dengan motosikal, unsur lawak, unsur cinta, kisah coming of age yang gay, serta sentimen anti-authoritarian; pendek kata, ia adalah pasembur kelas A yang datang terus dari Pulau Mutiara.

Yang cukup jelas di tengah-tengah adalah metafora mengenai Romero sendiri. Billy ialah Romero. Dia berkeras tidak mahu tunduk kepada sistem yang silap haribulan mau memakan dirinya dan mereka yang disayangi dalam proses. Mungkin Savini ialah Richard P. Rubenstein. Tapi secara asasnya, ia mengenai seorang pejuang yang tidak mahu dikawal sistem namun masih membuat perkara yang baginya penting sekali gus menghiburkan khalayak. Ia bukanlah wacana yang pretentious lagi syok sendiri, sebaliknya benar-benar kasi orang berlibur; cuma bukan mengikut resepi basi Hollywood.

Filem Romero kebelakangan ini betul-betul rabak dengan masalah suntingan; berbeza sama sekali dengan majoriti Knightriders yang begitu mahir diedit. Sukar hendak percaya ia datang dari mamat yang turut bikin Diary of the Dead (2007). Menonton Knightriders menyakinkan aku ini adalah hasil Romero yang paling kemas. Ya, dia membiarkan durasinya menjadi tidak terkawal, namun suntingan setiap adegan dibuat dengan cukup baik. Filem ini berbajet rendah tapi tak nampak murah. Yang peliknya, tidak lama selepas itu tiba-tiba Romero seperti hilang arah - kesemua filem dia pasca Day of the Dead (1985) tampak seperti jamban tak pam**. Perbezaan rupa Knightriders dengan, sebagai contoh, Monkey Shines (1988) macam langit dan bumi.

Menonton Knightriders membuat aku sedar yang Tom Savini tidak pernah diberi peluang betul-betul sebagai pelakon. Dia tidaklah sehebat mana, tapi dia ada ketrampilan dan mampu memainkan peranan yang bukan sekadar cameo lazimnya. Dia tidaklah setaraf Ed Harris (yang boleh tahan over acting di sini), tapi dia berupaya membawa watak jauh lebih kompleks dari yang kita nampak di luaran. Lain-lain pun sama bagus - tak ada yang bobrok habis - tapi aku suka orang lama Romero, Brother Blue sebagai Merlin. Tak tahu afasal.

Adegan aksinya cukup cemerlang dengan setiap perlawanan tampak unik dan mengujakan. Romero turut memberi pemahaman tentang undang-undang pertandingan, maka kita tidak pernah rasa terlalu diasak dengan tumbuk terajang semata-mata; sebaliknya, menjadi sebahagian daripada penyokong di pavilion. Kreativiti Romero membuat adegan bunuh dalam filem zombienya terserlah dalam kreativiti membuat aksi ngeri di sini - aku bet lebih ramai pelagak ngeri cedera teruk semasa penggambaran filem ini dari mana-mana produksi Jackie Chan dewasa ini.

Tetapi filem ini menjadi panjang berjela dek penamat yang bagai tidak kunjung tiba kerana tercari-cari sangat konklusi 70-an yang tacing. Dalam leretan itu, ia sempat menyelitkan lagi elemen yang pelik lagi tak masuk dek akal. Tapi jika filem ini usai kira-kira satu reel sebelum itu - tepat-tepat sebelum Le Fey bertempur dengan seorang pahlawan mulia ini untuk merebut takhta - aku percaya Knightriders akan diangkat sebagai karya klasik. Disebabkan terus berjalan dan berjalan dan berjalan, filem ini - yang telah pun habis dua kali sebelum itu - perlahan-lahan kehilangan nafas lalu terjelopok jatuh ke pengakhiran sedih yang langsung tak kena dengan filem ini.

Sayang Knightriders tidak begitu dibual banyak pihak; baik peminat Romero, peminat filem genre dan peminat Tom Savini berenang pakai spender. Meskipun dihurung ralat, filem ini dan Martin mengubah tanggapan kita tentang Romero. Ini lantaran menjadikan kariernya akhir-akhir ini tampak lebih tragik; apatah lagi dia terpaksa berbalik ke dunia zombie tak sudah-sudah. Ada cakap-cakap kononnya dia sendiri dah muak dengan zombie, dan kau tak boleh nak salahkan dia. Jelas dia ada banyak lagi cerita di dada, tapi seperti Savini, dia tidak pernah diberi peluang. Jika kau menonton filem ini kelak, ingat, agak-agak rasa macam dah patut habis; tutup saja. Kau secara langsung akan mengangkat filem yang sedang-sedang ke tahap lebih sepatutnya.

*Ihsan abang sulung aku yang muat turun dari Torrent.

**Tidak syak lagi kerana kehilangan Michael Gornick, pengarah sinematografinya yang naik taraf menjadi pengarah setelah Day of the Dead.

0 comments: